KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah memohon bekalan vaksin tambahan sebanyak sejuta dos bagi mencapai sasaran lebih 80 peratus imunisasi kelompok di negeri itu.

Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, penggunaan vaksin yang dibekalkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di pusat penerimaan vaksin (PPV) Kelantan kini mencapai 97 peratus.

Katanya lagi, PPV yang diwujudkan di seluruh Kelantan juga mampu memberikan suntikan lebih 30,000 sehari kepada penerima.

"Vaksin ini kita beri keutamaan. Kita minta tambahan daripada menteri MOSTI kalau boleh nak dapatkan 30,000 sehari.

"Kita ada keupayaan dengan adanya khidmat sukarelawan dalam pelbagai peringkat outreach. Jadi kita mampu berikan suntikan 30,000 sehari apabila bekalan vaksin ada," kata Ahmad Yakob.

Beliau berkata setakat ini permohonan bekalan tambahan vaksin itu belum mendapat maklum balas daripada MOSTI.

"Belum ada jawapan, harap diberi pertimbangan kerana kita bimbang dengan musim tengkujuh yang bakal tiba," kata Ahmad Yakob.