TAWAU: Sejak daerah Tawau dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 pada 3 April lalu, kes jangkitan baharu di daerah itu terus meningkat dan merupakan yang tertinggi di negeri Sabah.

Keadaan ini menyebabkan kesemua pusat kuarantin COVID-19 di Tawau hampir penuh.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata keadaan ini amat membimbangkan sekiranya berterusan.

"Hasil maklumat dan hasil informasi yang saya terima bahawa keadaan di Tawau ini semakin kritikal dari segi jangkitan COVID-19.

"Keadaan hospital sudah full house, termasuk juga di pusat kuarantin yang ada di Tawau ini seperti Kompleks Sukan Tawau dan tempat lain juga hampir full house," kata Nizam.

Katanya, jika perkara ini tidak ditangani dengan serius, daerah Tawau bakal berdepan keadaan tidak terkawal.

"Ini menjadi satu kerisauan kepada jawatankuasa kerana kalau benda ini tidak dikawal penularannya, tidak ada satu langkah yang konkrit, kita takut keadaan di Tawau ini akan menjadi satu keadaan yang tidak akan terkawal dan mungkin jangkitan ini akan merebak ke seluruh kawasan Tawau.

"Sebab itu saya dimaklumkan ada tempat yang dikenal pasti sebagai kawasan indeks yang boleh menjadi punca penularan ni terpaksa lokaliti ni di PKPD kan," katanya lagi.

Nizam berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana (JPB) di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang dipengerusikan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Arnold Joibi. 

Tambah pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Tawau, Dr G Navindran, keadaan ini didorong oleh sikap penduduk di daerah ini yang lalai dan tidak peka dengan bahaya jangkitan COVID-19 yang sudah meragut banyak nyawa, selain tidak tampil melakukan saringan kesihatan di peringkat awal.

"Wad yang disediakan untuk COVID-19 ini penuh, memang penuh, sebab kes ni bukan macam dulu.

"Dulu kalau tengok tahun lepas, kes yang kami dapat tu stage satu dan dua okay, tetapi kebelakangan ini yang terbaharu ini, kami dapat stage tiga dan empat.

"Sebab dulu orang sikit saja pun dia takut, dia datang cek. Sekarang, dia tunggu di rumah sampai teruk baru ke hospital.

"Sebab itulah katil di ICU sudah penuh sekarang," kata Dr Navindran.

Terdapat empat pusat kuarantin pesakit COVID-19 di sekitar daerah Tawau iaitu di Hospital Tawau, Kolej Jururawat Tawau, Kompleks Sukan Tawau dan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Balung.