Kes pertama kluster baharu di sebuah pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur telah dikenal pasti daripada saringan pelajar pusat tahfiz yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

Sehingga kini, enam kes dikesan dalam kluster baharu itu iaitu tiga kes yang merupakan penghuni pangsapuri tersebut dan tiga kes lain di luar kawasan pangsapuri.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan penularannya ada kaitan dengan aktiviti ziarah Aidilfitri.

"Mereka telah dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif. Kes-kes positif kluster ini adalah merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

"Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan, namun besar kemungkinan penularan COVID-19 adalah berkaitan dengan aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya
Aidilfitri,"katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.

Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat bagi keenamenam kes tersebut telah dijalankan.

"Setakat ini seramai 120 orang telah dikenalpasti dan disaring di mana enam kes positif COVID-19, 76 kes adalah negatif COVID-19 dan 38 masih menunggu keputusan," ujarnya.


Selain tindakan Active Case Detection yang telah mula dilaksana di pangsapuri tersebut, beberapa langkah kawalan penularan jangkitan COVID-19 turut giat dijalankan.
Ia termasuk pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyah kuman dan nyah cemar, hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan COVID-19 seperti amalan 3W dan elakkan 3S.
Dalam pada itu, kluster di sebuah pangsapuri di Cheras tidak melibatkan pangsapuri lain yang terdekat setakat ini.