KUALA LUMPUR:Kuching akan kembali menjadi zon merah dalam masa terdekat sekiranya masyarakat terus lalai dan tidak berusaha menghentikan penyebaran COVID-19.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zhin Hing, ketika ini peningkatan kes positif COVID-19 menunjukkan banyak daerah telah berubah menjadi zon kuning dan jingga.

Menerusi kenyataan pada Sabtu, Dr Chin berkata sistem perkhidmatan kesihatan negeri akan terlalu terbeban seperti apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia sekiranya masyarakat tidak memainkan peranan dalam mencegah penularan wabak ini.

“Semestinya kita tidak mahu ia berlaku di Sarawak. Jangkitan COVID-19 telah banyak menjejaskan aktiviti seharian kita dan kesihatan orang yang tersayang.

“Majoriti daripada mereka yang dijangkiti COVID-19 tidak menunjukkan sebarang simptom atau simptom ringan yang mudah sahaja diabaikan,” katanya.

BACA: Lapan rumah panjang di Sibu dikenakan sekatan pergerakan, 37 kes positif

Jelasnya data kes terkini di negeri itu menunjukkan pandemik COVID-19 telah merebak dalam komuniti dan terdapat kes melibatkan bayi berusia empat bulan sehingga warga emas berusia 86 tahun.

“Daerah-daerah seperti Sri Aman, Betong, Kapit dan Lawas yang sebelumnya bebas dari jangkitan kini mula terjejas.

“Golongan yang bekerja dalam komuniti yang membawa COVID-19 bersama mereka lalu menjangkiti anak-anak dan warga emas dalam keluarga.

“Malah, rakan-rakan saling juga saling menjangkiti antara satu sama lain melalui perjumpaan sosial,” tambahnya.

Untuk itu, Dr Chin menggesa orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sama-sama mengekang penularan ini.

Antaranya mengamalkan pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, tidak mengadakan sebarang perjumpaan di kawasan terbuka dan menangguhkan sebarang mesyuarat.