Kementerian Luar menjangkakan proses repatriasi rakyat Malaysia yang berada di Itali dan Iran, dua negara yang terjejas teruk akibat COVID-19, akan bermula minggu ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam satu sidang media hari ini, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, sehingga kini terdapat 48 orang rakyat Malaysia telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Iran, dan 323 orang di Itali.

Beliau berkata, kesemua 48 orang di Iran bersetuju untuk pulang, tetapi hanya 79 daripada 323 orang rakyat Malaysia di Itali mahu pulang ke tanah air.

SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG COVID-19

“Dalam kes itali, dari 323 orang (rakyat Malaysia), hanya 79 nyata mahu pulang. Kita terbuka tapi kita telah tetapkan deadline. Jadi saya menyeru kepada keluarga dan rakan mereka, untuk maklumkan pada mereka bagi membuat pendirian dalam masa 48 jam.

“Sebab ini memerlukan proses dokumentasi, pemakluman dan sebagainya.. Urusan penerbangan akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya lagi.