KUALA LUMPUR: Jumlah jangkitan kes baharu COVID-19 di Sabah melepasi angka 2,000 apabila merekodkan 2,069 kes pada Selasa.

Jelas Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, tujuh daerah mencatatkan kes tiga angka hari ini iaitu Kota Kinabalu 395 kes; Sandakan (267 kes); Tuaran (192 kes); Penampang (161 kes); Lahad Datu (137 kes) dan Tawau (113 kes).

Malah tegasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,075 kes atau 51.96 peratus yang dicatatkan hari ini adalah kes jangkita sporadik yang menjadi petanda jelas virus CIVID-19 telah merebak dalam komuniti.

"Mengikut statistik, kadar kebolehjangkitan di Sabah berada pada 1.54 iaitu lebih tinggi dari kadar kebolehjangkitan kebangsaan yang hanya 1.32. Ini bermakna kadar penularan COVID-19 di Sabah meningkat dan akan mengakibatkan kadar peningkatan jumlah kes lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia," katanya.

Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memaklumkan, satu kluster baharu iaitu klusteri institusi pendidikan diisytihar di Kota Marudu hari ini.

Katanya, ia melibatkan Kluster Jalan Kebulian melibatkan SMK Kota Marudu 2 yang mana kes indeks adalah pelajar tingkatan lima yang tinggal di asrama sekolah tersebut selain didapati positif pada 3 Februari lalu.

"Saringan ke atas kontak rapat mendapati tujuh orang lagi didapati positif menjadikan jumlah kes positif sebanyak 16," katanya.

Dalam pada itu, sejumlah 2,056 daripada 2,069 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 manakala lima kes dalam Kategori 3; enam kes dalam Kategori 4 sementara dua kes dalam Kategori 5.