SEMPORNA: Peningkatan kes di Sarawak melibatkan kes kategori satu dan dua di negeri itu merupakan petanda awal kepada peralihan fasa endemik, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masaa sama akan menyemak dan mendapatkan maklumat terperinci berkenaan punca peningkatan kes COVID-19 di Sarawak.

"Kita sudah melakukan semakan dengan Sarawak dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kita mendapati 99 peratus (kes) adalah merupakan kategori satu dan dua.

"Empat orang sahaja berada dalam kategori tiga, empat dan lima. Ini menunjukkan bahawa (kita) dalam dalam peralihan kepada fasa endemik, seolah-olah kita hidup dengan virus ini.

"Masih ada jangkitan, tetapi kesannya tidak teruk sangat. Namun demikian, kita sudah membuat keputusan dalam seminggu dua ini kita akan ke Sarawak untuk melihat apa sebenarnya yang sedang berlaku," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.



COVID-19 | Sarawak petanda awal peralihan endemik - KJ

Khairy menjelaskan, berdasarkan semakan awal, kebanyakan kes di Sarawak terdiri daripada jangkitan kategori satu dan dua iaitu yang tidak bergejala dan mengalami gejala ringan.

"Contohnya, negara lain seperti England, kes masih tinggi, kes ringan, tetapi dari segi kes yang serius amat rendah walaupun ada sedikit tinggi peningkatan berikutan varian Delta tetapi masih lagi agak rendah, itu yang kita sedang kaji bagi negara kita," ujarnya.

Terdahulu, KKM melaporkan Sarawak mencatatkan angka tertinggi dengan 3,200 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu kepada 134,612 kes.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sehingga Isnin, 63.6 peratus populasi di Sarawak telah lengkap menerima vaksin. Manakala bagi jumlah populasi dewasa pula adalah sebanyak 87.7 peratus.

Pada 1 September lalu, Khairy memaklumkan, Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober ini.

Beliau berkata, peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

BACA: COVID-19: Malaysia masuk fasa endemik hujung Oktober - Khairy