PUTRAJAYA: Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

"Kita perlu tunggu dua bulan lagi, apabila 80 peratus dewasa mendapat dos vaksin lengkap, seperti kita lihat contoh di Labuan dan Sarawak.

"Penghujung Oktober kita akan memasuki fasa endemik," katanya dalam sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya pada Rabu.

BACA: Fahami perbezaan epidemik, endemik dan pandemik

[TERKINI] Sidang Media Menteri Kesihatan | 1 Sept 2021

Tambah Khairy, rakyat perlu menerima konsep hidup bersama virus meskipun negara berjaya mengawal pandemik COVID-19.

"Kita harus menerima hakikat bahawa sekalipun kita berjaya mengawal pandemik ini, kita juga perlu bersedia untuk menerima kenyataan bahawa akan tiba masanya nanti COVID-19 menjadi endemik dan oleh itu, kita mesti mengambil langkah-langkah untuk hidup bersama virus ini.

"Dengan adanya vaksinasi, usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku dan usaha mengamalkan SOP yang berterusan, maka kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus COVID-19.," katanya lagi.

Jelas Khairy, langkah itu membolehkan pelbagai sektor di dalam negara dapat dibuka dan kehidupan rakyat kembali seperti sedia kala dalam norma baharu.

Sebagai persediaan untuk hidup bersama COVID-19, jelas Khairy lagi, rakyat perlu sentiasa melakukan kawalan kendiri, memakai pelitup muka dan mendapatkan vaksin seperti disyorkan kerajaan.

"Ini konsisten pendekatan negara lain, kebanyakan negara sudah beralih selepas berjaya membendung COVID-19 kepada fasa endemik. Satu norma baharu diperkenalkan untuk ktia hidup secara sihat dan selamat walaupun virus berada di kalangan kita.

"Usaha perubahan tingkah laku dan usaha untuk mengamalkan sop berterusan membolehkan kita masuk fasa baharu," kata Khairy lagi.