Bekalan makanan dan barang keperluan asas negara dalam menghadapi tempoh pandemik COVID-19 ketika ini mencukupi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi pada Rabu.

Beliau berkata KPDNHEP bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan memberi jaminan bekalan mampu bertahan walaupun situasi COVID-19 berterusan.

"Bukan sahaja dari segi stok, KPDNHEP juga memastikan keadaan bekalan dan sumber cukup, kita sudah tahu keadaan semasa di negara tempat kita mengimport makanan seperti India yang mengeluarkan daging.

"Begitu juga bekalan beras, contohnya Vietnam pada ketika ini tidak mengekport beras ke Malaysia, kita telah kenal pasti sumber lain untuk mendapatkan bekalan beras," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di pasar basah Serian di sini, pada Rabu.

Katanya KPDNHEP menyusun strategi untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi, justeru rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan walaupun pada musim perayaan.

Alexander berkata sempena Aidilfitri dan Hari Gawai di Sarawak, terdapat penambahan 11 barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2.0, menjadikan jumlah keseluruhan barangan terkawal di bawah SHMMP 2.0 Hari Raya adalah 20 barangan dan Hari Gawai (22).

Katanya, tarikh kuat kuasa pertambahan 11 barangan ini adalah pada 22 Mei hingga 3 Jun iaitu selama 13 hari.

Antara senarai penambahan barangan di bawah harga kawalan bagi Hari Gawai adalah ayam tua hidup, daging babi dan babi hidup.