Ketika hospital di seluruh negara masih memerlukan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan dalam merawat pesakit COVID-19, pelbagai pihak tidak putus-putus menyalurkan sumbangan.

Antara yang terbaharu, sebuah syarikat pengiklanan dan percetakan di Pahang, menggunakan mesin pemotong laser dimiliki untuk menghasilkan salah satu komponen penting PPE iaitu pelindung muka.

Pengurus Grafika Advertising, Cory Abd Rahim, berkata langkah itu sebahagian usaha pihaknya menyokong petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani kes COVID-19 setiap hari.


“Kami menyedari bekalan PPE termasuk pelindung muka diperlukan barisan hadapan sangat banyak, justeru dengan mesin yang dimiliki, kami cuba menghasilkan pelindung berkenaan untuk disumbangkan kepada mereka.

“Buat masa ini, penghasilan pelindung muka ini masih terhad disebabkan kesukaran mendapatkan bahan daripada pembekal,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

.

Cory berkata, lima orang kakitangannya terlibat dalam projek itu dan sehingga kini mereka berjaya menghasilkan 1,000 unit pelindung muka dalam tempoh dua minggu.

“Usaha ini disambut baik oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang telah bersetuju untuk menjadi penyelenggara dalam projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini,” katanya.

Jelasnya, pengagihan pelindung muka akan dilakukan secara berperingkat menerusi JKNP kepada hospital dan klinik kesihatan daerah Pahang.

.

Katanya, beliau bercadang untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak yang mempunyai idea terutama dalam sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersesuaian untuk membantu menghasilkan keperluan petugas barisan hadapan.

“Mungkin kita dapat bekerjasama dalam aspek mencari pembekal, menyediakan peralatan dan tenaga kerja atau sebagainya,” ujarnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada Isnin memaklumkan petugas perubatan memerlukan PPE yang banyak dan mengalu-alukan sumbangan peralatan dan pakaian itu kerana stok sedia ada hanya mampu bertahan dua minggu.

BACA: COVID-19: KKM masih perlukan sumbangan PPE