KUALA LUMPUR:Sejumlah 11 lagi kematian baharu direkodkan dalam negara akibat COVID-19 pada Ahad, dan ini menjadikan jumlah korban akibat wabak berkenaan adalah 494 bersamaan 0.4 peratus.

Pada masa sama, negara sekali lagi mencatatkan jumlah kes positif dengan empat angka iaitu 1,704 lagi kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), daripada kes baharu itu, 1,699 adalah kes jangkitan dan selebihnya ialah kes import.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif berubah menghampiri 120,000 iaitu 119,077.

Dalam pada itu, kes sembuh baharu dilaporkan lebih tinggi berbanding kes baharu yang disahkan iaitu sebanyak 2,726 dan menjadikan jumlah kes sembuh kini 97,218.

Sekali gus, menjadikan jumlah kes aktif menurun kepada 21,365 berbanding 22,398 pada Sabtu dengan 124 adalah kes unit rawatan rapi termasuk 51 yang memerlukan bantuan alat pernafasan.