KUALA LUMPUR:Sebanyak 1,196 kes baharu COVID-19 dilaporkan dalam negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,191 kes.

Menurut KKM lagi, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 392 kes (32.8 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 237 kes (60.5 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” kata KKM dalam kenyataan yang diedarkan pada Ahad.

Kenyataan itu juga berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula merekodkan sebanyak 202 kes (16.9 peratus) diikuti Johor sebanyak 194 kes (16.2 peratus).

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, terdapat satu kes kematian yang direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 452 kes (0.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini juga, KKM melaporkan terdapat 111 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan, pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 997 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 84,411 kes
(80.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ikuti perkembangan terkini COVID-19 di sini