PUTRAJAYA: 1.3 peratus daripada 15,573 kes baharu yang dicatatkan hari ini adalah pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5.

Manakala 15,368 kes pula melibatkan pesakit daripada kategori 1 dan 2 yang bergejala ringan, maklum Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

"Daripada 15,573 kes hari ini, sebanyak 29 kes iaitu 0.2 peratus iaitu kategori 5 kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, 74 kes iaitu 0.5 peratus bagi kategori 4 radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

"103 kes iaitu 0.6 peratus pesakit kategori 3 yang mempunyai radang paru-paru, manakala 7,095 kes iaitu 45.6 peratus kategori 2 bergejala ringan dan 8,273 kes iaitu 53.1 peratus adalah kategori 1 tidak bergejala.

"Keseluruhannya 1.3 peratus kes dilaporkan berada pada kategori 3,4 dan 5," katanya dalam sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia pada Jumaat.

BACA: COVID-19: Kes harian melonjak 15,573 kes, Selangor catat kes lebih 7,000 kes

Sebahagian pesakit kategori 1 dan 2 dimasukkan ke hospital disebabkan risiko-risiko lain

Sementara itu mengulas lanjut, 144 kes kematian yang dicatatkan hari ini jelas Dr Noor Hisham melibatkan 13 negeri.

"Sebanyak 144 kes kematian yang dilaporkan pada hari ini melibatkan 66 kes di Selangor, 16 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 15 kes di Johor, 13 kes di Melaka.

"Manakala 10 kes di Negeri Sembilan,  lapan kes di Pahang, enam kes di Kedah, tiga kes di Sarawak, masing-masing dua kes di Perak dan Pulau Pinang, serta masing-masing satu kes di Sabah, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya lagi.