KUALA LUMPUR: Angka jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan 14,516 kes dalam tempoh 24 jam lalu, penurunan hampir 3,000 kes berbanding angka tertinggi 17,045 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di dalam ciapannya di laman Twitter memaklumkan, tambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara kini ialah 1,027,954.

Selangor masih menjadi penyumbang kes harian tertinggi dengan 6,508 kes diikuti Johor (1,449), Kuala Lumpur (1,425), Kedah (1,160) dan Sabah (720).

Daripada jumlah kes harian, hanya tiga kes import manakala 14,513 pula merupakan penularan tempatan.


KKM turut merekodkan 207 lagi kematian menjadikan ia jumlah harian tertinggi negara setakat ini dengan jumlah kumulatif korban akibat COVID-19 kini meningkat kepada 8,201 kes.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan sebanyak 9,327 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 853,913.

Sementara kes yang memerlukan rujukan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 1,009 kes, manakala 524 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.