KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan  2,690  kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit menurun berbanding semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,767,044 kes.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 19 lagi kes kematian dengan angka kumulatif ialah sebanyak 31,532 kematian. 

Jumlah itu juga termasuk 4 kes brought-in-dead (BID) atau kes kematian di luar hospital.



Setakat ini, 265 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 147 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, jumlah kes sembuh yang direkodkan ialah 3,535 kes, sekali gus menjadikan angka kumulatif bagi kes sembuh adalah sebanyak 2,695,751.

Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu 98.1 peratus atau 2,638 kes melibatkan pesakit tidak bergejala dan gejala ringan.

Selebihnya merupakan pesakit kategori 3, 4, dan 5 iaitu sebanyak 1.9 peratus atau bersamaan 52 kes.

Dalam pada itu, tiga kluster baharu turut dikesan dengan 206 kluster masih lagi aktif sementara 5,931  kluster telah diisytiharkan tamat.