KOTA KINABALU: Satu kluster baharu COVID-19 dikesan di Sabah melibatkan 41 kes di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia melibatkan kes indeks, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang merupakan penuntut di Fakulti Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan tinggal di Kolej Kediaman Excellent.

"Kes indeks yang mula bergejala sejak 1 Disember, kemudiannya disahkan positif COVID-19 melalui saringan di Pusat Perubatan UMS pada 2 Disember dan telah selesai menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) UMS.

"Saringan terhadap kontak kes mendapati 40 lagi kes positif terdiri daripada pelajar serta kakitangan UMS.

"Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 41 kes termasuk lima kes baharu. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata sebanyak 232 kes baharu direkodkan pada Selasa, iaitu pertambahan sebanyak 51 kes daripada kes yang dicatatkan pada Isnin.

Seramai 215 orang daripada 232 kes yang direkodkan berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

"Sementara, empat pesakit dalam Kategori 3, tiga pesakit dalam Kategori 4 dan tidak ada kes dalam Kategori 5. Sepuluh kes lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya.