KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan sebanyak 4,214 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kini sebanyak 219,713 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes import dilaporkan yang menerima jangkitan daripada luar negara manakala selebihnya merupakan kes tempatan.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 48,074 kes," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian baharu mencatatkan pertambahan sebanyak 10 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah sebanyak 770 kes.

Data CPRC Kebangsaan


Mengenai penularan COVID-19 mengikut negeri, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,362 kes diikuti Johor sebanyak 1,068 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 702 kes. 

Setakat ini, sebanyak 316 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 137 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh terus catat peningkatan sebanyak 4,280 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 170,329 kes.