KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 7,373 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, penambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 yang direkodkan di Malaysia adalah 2,339,594 kes.

"Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: covidnow.moh.gov.my

"Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam," katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Mulai Sabtu, KKM tidak lagi memberi perincian atau pecahan kes harian mengikut negeri, sebaliknya ia akan dipaparkan di website COVIDNOW.


Dalam pada itu, menerusi kenyataan media hariannya, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 10,959 kes sembuh dilaporkan hari ini.

"Daripada 7,373 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 133 kes (1.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 7,240 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sejumlah 762 kes kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 410 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Malah, lapan kluster baharu dikesan hari ini dengan kluster yang masih aktif ketika ini adalah 810 kluster.