LANGKAWI: Empat individu termasuk sepasang suami isteri tidak dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah selepas dikesan positif COVID-19 pada Jumaat.

Pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 30 tahun manakala dua lagi merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 40-an.

Keempat-empat mereka berjaya dikesan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sewaktu pemeriksaan pengesanan COVID-19 yang dilakukan di terminal tersebut sebelum menaiki feri jam 1.30 petang.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka dikesan positif selepas melakukan ujian kendiri saliva yang menunjukkan keputusan dijangkiti COVID-19.

"Kita dapat kesan apabila empat orang ini, bukan dari kumpulan yang sama, masuk ke kawasan pengesanan untuk ujian kendiri menggunakan saliva.

"Mereka didapati positif. Pihak KKM telah uruskan untuk tindakan selanjutnya," kata Kamarul kepada pemberita ketika melakukan pemeriksaan menerusi Op Pematuhan di Terminal Feri Kuah, petang semalam.

Beliau memaklumkan, polis telah meminta KKM untuk mengesan kontak rapat kerana bimbang mereka terlepas menaiki feri ke Langkawi.

Katanya, seramai 216 penumpang yang menaiki feri dari Kuala Kedah ke Langkawi perlu melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sehubungan itu, Kamarul menyarankan pelancong yang mahu ke pulau peranginan itu supaya membuat ujian saringan lebih awal bagi mengelak penularan di kawasan terminal.

Beliau turut memaklumkan, jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan ke Langkawi sejak 16 September lalu adalah seramai 12,607 orang, membabitkan 11,853 pelancong domestik dan 754 antarabangsa.

Daripada jumlah itu 8,587 pelancong tiba melalui penerbangan dan 4,020 pelancong menggunakan jalan laut. 

Foto Astro AWANI