KUCHING: Kes COVID-19 di Sarawak mengalami peningkatan ketara selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan 3,272 kes positif COVID-19 antara tempoh 9 Mei 2021 hingga 15 Mei 2021.

Keadaan terus memburuk minggu berikutnya pada 16 Mei 2021 sehingga 22 Mei 2021 dengan 3,642 kes dicatat bersamaan purata 596 kes sehari.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), sejak 11 April 2021 negeri itu terus menunjukkan peningkatan kes dengan melebihi 300 kes setiap hari menjadikan kumulatif kes setakat 24 Mei 2021 berjumlah 42,813 kes.

Pemangku Pengarahnya, Dr Rosemawati Ariffin berkata kebanyakan kes positif yang dikesan dalam tempoh seminggu lalu merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Antara kluster yang terlibat adalah Kluster Taman Sourabaya Indah dan Kluster Jalan Jambatan Gantung di Daerah Kuching.

“Sementara itu, Daerah Kabong juga melaporkan peningkatan kes COVID-19 melalui jangkitan dalam kalangan saudara-mara yang berkunjung semasa Hari Raya yang mengubah status daerah ini kepada zon kuning,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, kes kematian COVID-19 di Sarawak juga meningkat dengan mendadak dari purata satu kematian sehari pada bulan Mac (29 kes) kepada purata dua kematian sehari pada bulan April (69 kes).
Manakala bulan Mei mencatat jumlah kematian tertinggi iaitu 74 kes bersamaan purata tiga kematian sehari.

Mengulas lanjut status pesakit COVID-19 di hospital, Dr Rosemawati memberitahu setakat Selasa, 83 kes masih berada dalam keadaan kritikal di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 32 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keadaan ini menjadikan kapasiti katil ICU di Sarawak ketika ini berada di paras kritikal.

Tambahnya lagi, penilaian risiko jangkitan yang dilakukan JKNS mendapati pergerakan individu merentas negeri serta daerah dan penganjuran majlis perayaan menjadi punca utama peningkatan risiko penularan wabak tersebut.

“Masyarakat di Sarawak diseru agar terus kekal berada di rumah sahaja sekiranya tiada urusan penting serta dilarang daripada merentas daerah untuk balik kampung bersempena cuti sambutan Hari Gawai Dayak pada tahun ini.

“Sayangilah keluarga dan lindungi warga tua di kampung atau rumah panjang dengan tidak membawa balik virus COVID-19 yang boleh membawa maut ini,” katanya.

Susulan itu JKNS menyeru kepada semua untuk terus mematuhi SOP dan daftarkan diri untuk divaksinasi agar imuniti kelompok dapat dicapai.

“JKNS menyeru kepada semua warga yang belum berdaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 agar bertindak sekarang dengan membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, laman web JKJAV atau di Pejabat Daerah berdekatan.

“Kami amat memerlukan kerjasama daripada semua warga di Sarawak agar kadar imuniti kelompok yang mencukupi boleh dicapai bagi membendung jangkitan COVID-19 di Sarawak,” ujarnya.

Untuk rekod Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 10 Mei lalu memutuskan sambutan Aidilfitri di Sarawak hanya dibenarkan pada hari raya pertama dengan kehadiran keluarga terdekat sahaja.

BACA: COVID-19: Sambutan Aidilfitri di Sarawak dibenar sehari sahaja

B
ACA: Pergerakan Hari Raya, punca kenaikan kes positif COVID-19 di Kuching