KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 terus melonjak apabila  4,046 kes lagi direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan angka baharu itu jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia mencecah 2,824,973 kes.

"Pada 21 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 4,046 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,824,973 kes," katanya dalam ciapan di Twitter di sini, pada Jumaat.

Daripada jumlah itu Dr Noor Hisham menjelaskan, 99.2 peratus adalah melibatkan kategori satu dan dua manakala 0.8 peratus lagi melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

Beliau memberitahu, dalam tempoh 24 jam sahaja, 2,804 individu sembuh menjadikan sejumlah 2,750,261 atau 97.4 peratus kes sembut setakat Jumaat.

Sementara itu, 149 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 71 individu memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Sebanyak 12 kluster baharu direkodkan menjadikan 220 kluster masih lagi aktif," ujarnya.

Dalam pada itu, berdasarkan laman sesawang COVIDNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 22 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan sehingga tengah malam tadi dengan lima daripadanya membabitkan kematian di luar kemudahan kesihatan (BID).

Kes kematian itu direkodkan di sepuluh negeri dengan tertinggi direkodkan di Selangor iaitu sebanyak tujuh kes, satu daripadanya membabitkan kes BID.



Ia diikuti Perak dengan tiga kes, masing-masing dua kes di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu, manakala satu kes direkodkan di empat negeri iaitu Sarawak, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Bagi kes BID, selain Selangor, empat negeri lain turut mencatatkan satu kes BID iaitu Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah.

Enam negeri pula mencatatkan sifar kes kematian iaitu Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.