KUALA LUMPUR: Keadaan Orang Asli yang sejak dari dahulu mempunyai pelbagai masalah kesihatan membuatkan mereka lebih berisiko sekiranya dijangkiti COVID-19.

Bahkan, sekiranya dibandingkan masalah kesihatan Orang Asli dengan populasi keseluruhan negara, jumlah mereka yang terkesan sebenarnya lebih banyak daripada rakyat lain yang tinggal di bandar atau di kampung.

Pengarah Eksekutif Malaysian CARE, Dr Wong Young Soon berkata, antara masalah kesihatan yang dikesan adalah batuk kering, malaria dan malnutrisi malah kadar kematian bayi dan ibu juga jauh lebih tinggi dalam kalangan mereka.

“Malnutrisi, lebih ramai Orang Asli mengalami keadaan itu dan itulah sebab kita nampak mengapa kanak-kanak, saiz mereka lebih kecil daripada kanak-kanak di bandar, kaum yang lain.

“Kadar kekurangan makanan pun lebih tinggi di kalangan Orang Asli, dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli,” katanya pada webinar sempena Perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2021 anjuran Koperasi Sengoi Pribumi Perak.

Jelasnya, sekiranya semua perkara itu digabungkan dan pada masa sama mereka turut dijangkiti COVID-19, ia akan memberi kesan lebih serius.

Tambah Young Soon, komuniti tersebut tidak dapat mengelak COVID-19 daripada memasuki kampung mereka kerana ramai golongan muda kini bekerja di bandar.

“Ramai yang bekerja di bandar terutamanya belia, bekerja di kilang-kilang, perkhidmatan dalam keselamatan dan sebagainya. Mereka ulang-alik pergi kerja.

“Itu sebabnya masa awal pandemik bila banyak kampung buat halangan, ramai Orang Asli tidak pergi kerja sebab tidak boleh keluar dan masuk untuk tiga bulan itu.

“Dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu dan sektor ekonomi telah terbuka, Orang Asli balik kerja di kilang-kilang, jadi mereka ulang-alik untuk pergi kerja,” ujarnya.

Jelasnya, mereka tidak boleh bekerja dari rumah kerana kebanyakan tugas mereka memerlukan mereka hadir ke tempat kerja meskipun bimbang dengan penularan COVID-19.