KUALA LUMPUR:Bagi rakyat Malaysia atau pengembara yang mahu pulang ke negara ini, mereka perlu melakukan ujian calitan tiga hari sebelum tarikh penerbangan mereka.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas mereka tiba di negara ini, mereka perlu menjalani proses kuarantin selama tujuh hari berbanding 14 hari sebelum ini.

“Bagi pengembara yang ingin pulang ke Malaysia, mereka perlu melakukan swab test dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas pulang, dan selepas tiba di Malaysia, mereka akan dikuarantin selama tujuh hari.

“Ini menjadikan 10 hari seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini. Kita telah singkatkan selama tujuh hari, kalau dulu 14 hari sekarang ini tiga hari sebelum berlepas dan tujuh hari di pusat kuarantin,” katanya pada sidang media pada Selasa.

BACA: Tempoh kuarantin wajib dikurangkan dari 14 kepada 10 hari - Dr Noor Hisham

Bagaimanapun, mana-mana individu yang tidak melakukan ujian calitan sebelum berlepas ke Malaysia, mereka akan dikuarantin selama 10 hari seperti mana yang diumumkan KKM baru-baru ini. 

Terdahulu, KKM mengumumkan tempoh kuarantin untuk pengembara yang pulang dari luar negara dipendekkan kepada 10 hari berbanding 14 hari.

Dalam pada itu, Ismail turut memaklumkan secara kumulatif, mulai 24 Julai 2020 sehingga 14 Disember
2020, seramai 86,344 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,203 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 74 Hotel dan 17 premis lain
termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"528 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 75,613 individu dibenarkan pulang ke rumah.

"Semalam, seramai 693 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya telah dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara," jelasnya.