KUALA LUMPUR :Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menjelaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Lembah Klang adalah berikutan kawasan itu merekodkan kes baharu secara berselerak.

Beliau memberitahu, sekiranya penularan hanya tertumpu pada satu-satu lokaliti, kerajaan mungkin dapat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatakan (PKPD) secara bersasar.

"Jka penularan telah menular ke setiap daerah dalam negeri tersebut dan terus merekodkan kes-kes baharu iaitu berselerak di Selangor dan Lembah Klang, ini bermakna penularan jangkitan ini tidak dapat lagi dibendung dengan berkesan.

"Pada masa yang sama juga, kawalan di Kuala Lumpur dan Selangor adalah sukar," katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, pada Isnin.

BACA: COVID-19: 563 kes baharu dilaporkan hari ini, 52 peratus di Sabah


BACA: Fahami maksud, perbezaan PKPB antara Sabah, Selangor, KL dan Putrajaya

BACA: 
COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

BACA: Enam lagi kluster baharu dikenal pasti - Dr Noor Hisham

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, walaupun bilangan kes yang direkodkan di Lembah Klang adalah kurang daripada 100, tetapi ia secara konsisten merekodkan kes baharu pada setiap hari dan mula menular di semua daerah kecuali Sabak Bernam.

"Kita tidak boleh menunggu zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan PKPB atau PKPD.

"Perlu difahamkan penilaian risiko sama ada teruk atau tidak, bukan hanya bergantung kepada bilangan kes positif seharian, tetapi juga melihat kepada corak penularan di dalam negeri itu," katanya lagi.

Ekoran itu beliau berpendapat, pelaksanaan semula PKPB adalah langkah terbaik untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

Katanya, ia adalah tindakan proaktif dan berkesan terumanaya dalam memastikan keupayaan kesihatan awam dapat dirancang sebaiknya.

"Pelaksanan perintah ini adalah tindakan pencegahan amat penting dalam membendung wabak ini sebelum menular seluruh menular di seluruh negara," ujarnya.