PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembelian tambahan enam juta dos vaksin COVID-19 bagi memastikan matlamat imuniti berkelompok segera dicapai.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan program vaksinasi yang dijalankan telah terbukti apabila kes harian di Wilayah Persekutuan Labuan telah turun ke satu angka dalam masa tujuh hari berturut-turut.

"Fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos 2021 membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut.

"Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman COVID-19. Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang.

"Sehubungan itu, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, suka saya umumkan pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini, katanya ketika menyampaikan ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ahad.

Selain itu, Ismail Sabri juga menjelaskan, bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan, kerajaan yang diterajui beliau akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama.

"Objektif pertama, mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna. Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Sehubungan itu, fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

"Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh," kata Ismail Sabri lagi.

Perdana Menteri juga berikrar untuk memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

Selain itu, beliau juga berjanji akan mendengar suara anak muda dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.

"Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara," ujar Ismail Sabri.