KUALA LUMPUR : Penularan wabak COVID-19 dalam negara terus menyaksikan peningkatan apabila dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 19,819 kes baharu direkodkan sekali gus menjadikannya paling tinggi dalam sejarah sejak pandemik ini melanda dunia umumnya dan Malaysia khususnya.

Pertambahan angka berkenaan juga sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara ini sebanyak 1,183,110.

Kes kematian baharu turut melaporkan angka baharu tertinggi iaitu sebanyak 257 kes dengan jumlah kumulatif kini 9,855 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih terus merekodkan kes harian tinggi iaitu sebanyak 8,377 diikuti Kuala Lumpur (2,467) dan Kedah (1,371). 

"Kes aktif dengan kadar kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 210,522 kes," katanya. 

Berdasarkan kes baharu yang dilaporkan, terdapat 23 kes import yang menerima jangkitan dari luar negara mankala selebihnya merupakan penularan tempatan.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,069 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 553 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara jumlah pesakit yang pulih setakat ini pula sebanyak 962,733 termasuk jumlah kes sembuh baharu yang dilaporkan hari ini sebanyak 12,704.