Skip to main content

Malaysia

FSSSM 2026 produk pelancongan budaya promosi TMM 2026 - KP JKKN

ALOR GAJAH, 19 Sept - Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris pada sidang media selepas Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Tanjung Bidara Airstrip, Kem Terendak Melaka hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Amran berkata, FSSSM 2026 yang bertemakan “Mulanya di sini... Pusat Pertemuan Budaya” dianjurkan untuk mengetengahkan keunikan serta kepelbagaian seni dan budaya yang berkembang hasil daripada pertembungan pelbagai budaya di sepanjang perairan Selat Melaka. - Gambar Bernama
Advertisement

ALOR GAJAH: Festival Seni Selat dan Sungai Melaka (FSSSM) 2026, satu daripada program pelancongan budaya di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dianjurkan untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, penganjuran FSSSM 2026 yang berlangsung di Dataran Pantai Tanjung Bidara, di sini, selama tiga hari bermula Jumaat, ialah program pelancongan budaya kesembilan yang dirancang dilaksanakan bersempena dengan TMM 2026.

Beliau berkata, penganjuran festival itu menerusi kerjasama antara JKKN dengan Kerajaan Negeri Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

"Festival Seni Selat ialah ‘signature’ program pelancongan budaya bagi negeri Melaka, dan secara keseluruhan terdapat 15 program pelancongan budaya yang telah dirancang untuk setiap negeri mengikut 'signature' masing-masing bersempena dengan TMM 2026.

"Kesemua program pelancongan budaya ini dilaksanakan di setiap negeri secara berperingkat bermula Februari lepas hingga November depan bagi mempromosikan elemen seni dan budaya masyarakat setempat di setiap negeri yang menjadi antara daya tarikan untuk menarik pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026, di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk S. Surrendren.

Mohd Amran berkata, FSSSM 2026 yang bertemakan “Mulanya di sini... Pusat Pertemuan Budaya” dianjurkan untuk mengetengahkan keunikan serta kepelbagaian seni dan budaya yang berkembang hasil daripada pertembungan pelbagai budaya di sepanjang perairan Selat Melaka, sekali gus memperlihatkan kedudukan Selat Melaka sebagai laluan penting yang telah menjadi pusat pertemuan budaya dunia sejak lebih 500 tahun lepas.

Beliau berkata, kira-kira 40,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari penganjuran FSSSM 2026 yang turut berlangsung serentak dengan program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Pesta Pantai Tanjung Bidara dan Festival Sungai Melaka 2026.

"Penganjuran FSSSM 2026 diharap dapat menjadi platform berterusan untuk memperkukuh jaringan komuniti seni dan budaya, merancakkan aktiviti pelancongan serta mengangkat Selat Melaka sebagai ruang pertemuan budaya yang kaya dengan sejarah, warisan dan kepelbagaian," katanya.

Sementara itu, JKKN dalam kenyataan memaklumkan, kemuncak FSSSM 2026 ialah Malam Budaya Tanjung Bidara (MBTB), berlangsung malam tadi dengan menampilkan persembahan yang menggabungkan elemen sejarah, kearifan tempatan dan hiburan semasa.

Antara tarikan MBTB 2026 ialah persembahan zapin oleh 1,000 penari, Kempen Berpakaian Busana Etnik dan Konsert Hiburan Rakyat.

Antara artis yang menjayakan MBTB ialah Haziq Rosebi, Wanie Kyrie, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Yasser Fikri, Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, Kumpulan Tari Program Bimbingan Hujung Minggu JKKN Melaka, Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Persatuan Peranakan Cina Melaka, Troupe De Do Marina dan ramai lagi.

Selain itu, FSSSM 2026 turut menganjurkan pelbagai pengisian menarik lain, termasuk Tempur Cabaran Joget X Zapin, Ratu Kebaya Selat Melaka, Pencarian Suara Datuk Jamal Abdillah, Pertandingan Bintang Irama Selat Melaka, Banana Boat Riding, Jet Ski dan Mini Fun Ride.

Menurut JKKN, segmen ilmu turut diadakan menerusi sesi audio siar yang menjadi platform perkongsian pengetahuan dan perbincangan berkaitan seni serta budaya.

Selain itu, penganjuran demonstrasi dan pengedaran Nasi Lemak Kukus Melaka adalah sebahagian daripada usaha mempromosikan Budaya Sarapan Malaysia, yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO pada 2024 sebagai “Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity”.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement