ISTANBUL: Pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik Houthi yang menyasarkan ibu negara Riyadh awal Sabtu, menurut pakatan pimpinan Arab Saudi di Yaman, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap pakatan, Mejar Jeneral Turki Al-Maliki dalam kenyataan di platform media sosial AS, X berkata, Pasukan Pertahanan Udara Diraja Arab Saudi memintas peluru berpandu itu selepas dilancarkan kumpulan Houthi Yaman ke arah Riyadh.
Al-Maliki berkata, peningkatan ketegangan oleh Houthi dan percubaan berterusannya menyasarkan orang awam serta infrastruktur awam di ibu negara Riyadh menunjukkan kedegilan kumpulan itu serta tindakan disengajakan dan sistematik menyasarkan orang awam serta infrastruktur awam, yang mencerminkan corak tingkah laku bermusuhan dan bersifat keganasan.
Beliau turut berkata, kumpulan itu cuba menyasarkan orang awam dan kemudahan awam di Baysh, Taif, Farasan dan Yanbu, namun serangan berkenaan digagalkan pertahanan udara Arab Saudi.
Jurucakap pakatan itu berkata, kepimpinan pakatan mempunyai hak untuk mengambil langkah yang dianggap sesuai bagi menghalang serangan Houthi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kenyataan Arab Saudi itu dibuat selepas jurucakap Houthi, Yahya Saree mendakwa kumpulan berkenaan melancarkan dua operasi melibatkan “sejumlah besar peluru berpandu balistik dan peluru berpandu kruis serta dron.”
Saree berkata, satu operasi menyasarkan apa yang disifatkannya sebagai “sasaran sensitif” di Riyadh, manakala satu lagi menyasarkan kemudahan syarikat minyak Saudi Aramco di bandar pesisir Yanbu.
Terdahulu Sabtu, Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran di Riyadh buat kali pertama dalam gelombang amaran terbaharu, selain di Al-Kharj yang berhampiran.
Pihak berkuasa pada mulanya tidak menyatakan bentuk ancaman itu.
Arab Saudi berdepan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron yang dikaitkan dengan Houthi sejak beberapa hari kebelakangan ini, termasuk serangan di Taif pada Khamis apabila serpihan daripada dron yang dipintas mengorbankan seorang dan mencederakan dua yang lain.
-- BERNAMA-ANADOLU