KUALA LUMPUR: Virus COVID-19 jenis 'Variant of Concern' telah dikesan di setiap negeri di Malaysia terutamanya varian B.1.351 atau varian Afrika Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran besar kemungkinan sudah berlaku penularan meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri.

Ini susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sebanyak 119 kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai 'Variant of Concern' (VOC) dan Variant Of Interest (VOI).

Daripada jumlah itu sebanyak 14 kes merupakan jangkitan luar negara manakala 105 lagi kes tempatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, manakala 104 kes merupakan varian VOC dan selebihnya adalah VOI.

"Antara VOC dilaporkan adalah 89 kes varian B.1.351, sembilan kes varian B.1.1.17, enam kes varian B.1.617.

"Manakala varian VOI pula sebanyak 12 kes varian P.3 dan tiga kes varian B.1.525," jelasnya dalam satu kenyataan, pada malam Isnin.

Mengulas lanjut Hisham berkata, memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu.

"Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ia akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes COVID-19," jelasnya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.

Selain pelaksanaan total lockdown yang bermula pada 1 Jun 2021, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) juga akan terus dilaksanakan bagi kawasan-kawasan dengan pelaporan kes yang tinggi.

"Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular ke lokaliti-lokaliti lain.

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dilaksanakan secara bersasar dalam kalangan komuniti yang terlibat," tambahnya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan untuk kekal berada di rumah sepanjang masa.

Dr. Noor Hisham mengingatkan sekiranya terpaksa keluar atas urusan penting, patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan dan lindungilah diri seperti yang sering dinasihatkan oleh KKM.

"Tempoh masa dua (2) minggu ini adalah amat kritikal bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia dan ianya perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh semua lapisan masyarakat.

"Semoga dengan segala usaha yang dijalankan dapat melandaikan keluk pandemik COVID-19 di negara kita dan memastikan kelestarian sistem penjagaan kesihatan yang baik di Malaysia," katanya.