Tiada keperluan untuk menutup sekolah serta tadika di Sabah dan Kedah, walaupun ada murid yang dijangkiti COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini, beliau berkata, beberapa langkah susulan telah diambil bagi memastikan penularan di kawasan berkenaan dapat dikekang.

Bagi dua kes melibatkan murid di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, seorang daripada mereka tidak menghadiri persekolahan, manakala seorang lagi didapati mempunyai komplikasi sewaktu kelahiran dan sudah dirujuk ke hospital.

“Kita telah melakukan saringan di sekolah dan tiada murid atau guru di sekolah tersebut dijangkiti COVID-19. Jadi tiada kluster dikesan dan kedua-duanya telah dihantar ke hospital.

“Di Kedah kita sudah kenal pasti kluster berkenaan tetapi kita tidak cadangkan untuk sekolah atau tadika itu ditutup. Apa yang kita sarankan adalah untuk melakukan proses disinfeksi di kawasan sekolah terbabit,” katanya lagi.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seorang murid Tahun Dua di sebuah daerah di Inanam, Kota Kinabalu, disahkan positif COVID-19.

Dilaporkan, murid terbabit telah dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan.

BACA: Murid positif COVID-19: Sekolah tidak ditutup, pelajar perlu dikuarantin

Sementara itu, Pengarah JKNS, Datuk Christina Rundi berkata, kesemua kontak rapat pelajar itu telah pun diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Jelasnya, mereka yang diarah kuarantin termasuk rakan sekelas, keluarga pesakit dan kontak terlibat di sekolah berkenaan.

BACA: Pelajar sekolah rendah disahkan positif COVID-19

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, terdapat lapan kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,964 kes.

Daripada kes baharu yang dilaporkan, beliau berkata, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Baki lima kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia, iaitu satu di Kuala Lumpur, satu di Johor, dan tiga di Sabah.