PENAMPANG: Seorang lelaki yang dipercayai cuba memanjat masuk ke rumah teman wanitanya melalui tingkap dapur maut selepas terjatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.

Mayat mangsa yang berusia 27 tahun ditemui kira-kira jam 7 malam oleh orang awam dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di bahagian bawah kondominium terbabit.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut sebaik pihaknya menerima laporan.

"Anggota telah menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di tingkat bawah kondominium itu dan dia didapati sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal polis mendapati, lelaki terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat 23 kondominium berkenaan ketika cuba memanjat untuk masuk ke rumah sewa teman wanitanya melalui tingkap di bahagian dapur," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.