Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 18 Tawau berjaya menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Tanjung Doris, semalam.

Kesemua PATI yang menaiki bot jongkong tempatan itu ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam oleh pihak Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan.

Pengarah Maritim Daerah, Daerah Maritim 18 Tawau Kapten Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya mengesyaki bot jongkong itu menghala masuk ke Wallace Bay Sebatik.

Kesemua PATI yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli

"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan dan 27 penumpang lelaki serta wanita berusia 16 hingga 40 tahun di atas bot tersebut.

"Pemeriksaan juga mendapati, kesemua mereka merupakan warga Indonesia dan tidak mempunyai dokumen sah untuk memasuki negara ini," katanya.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Tawau kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Tawau.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-752115 pusat operasi Maritim Malaysia Tawau atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.