Skip to main content

Malaysia

Cubaan seludup dadah di Nigeria: Polis siasat dakwaan anak perangkap ibu 

Cubaan seludup dadah ke Nigeria: Polis siasat dakwaan anak perangkap ibu
Wanita itu mendakwa perjalanan tersebut ditaja oleh anak perempuannya dan telah berada di Thailand kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan berkenaan untuk dihantar ke Nigeria. - Gambar/ Media sosial

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat dakwaan bahawa seorang wanita warga emas yang ditahan pihak berkuasa Nigeria kerana dipercayai cuba menyeludup 31 kilogram (kg) dadah jenis Canadian Loud ke negara itu, diperangkap oleh anak perempuannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dakwaan itu masih dalam siasatan dan pihaknya meneruskan usaha mengesan anak wanita terbabit.

"Usaha mengesan anak wanita itu masih dalam tindakan dan dakwaan bahawa wanita terbabit diperangkap oleh anaknya juga masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hussein berkata pihaknya sudah dimaklumkan oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) berhubung penahanan wanita berumur 63 tahun itu.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, wanita terbabit ditahan pihak berkuasa Nigeria pada 17 Mei lepas setelah dipercayai cuba menyeludup 31 kg dadah jenis Canadian Loud ke negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed di Lagos.

Difahamkan, wanita yang memiliki status warga Malaysia naturalisasi itu tiba di Nigeria dengan menaiki penerbangan dari Thailand melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dipercayai dalam perjalanan dari Malaysia ke Thailand sebelum ke Nigeria, dengan membawa dua bagasi besar mengandungi bahan terlarang terbabit.

Ketika disoal siasat, wanita itu mendakwa perjalanan tersebut ditaja oleh anak perempuannya dan telah berada di Thailand kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan berkenaan untuk dihantar ke Nigeria.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement