Skip to main content

Malaysia

Cubit, tampar, gigit anak angkat 7 bulan hingga maut, suri rumah dipenjara 17 tahun

KUALA LUMPUR, 7 Ogos -- Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh anak angkat perempuannya berusia tujuh bulan, Julai lepas._BERNAMA
Wanita terbabit didakwa menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras, di sini pada 10 malam, 29 Julai 2025 sehingga 7 pagi, 30 Julai 2025. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kematian anak angkat perempuannya dengan mencubit, menampar dan menggigit mangsa sehingga lebam pada muka dan keseluruhan badannya, tahun lepas.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Subrina Imran, 39, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 31 Julai 2025.

Wanita terbabit didakwa menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras, di sini pada 10 malam, 29 Julai 2025 sehingga 7 pagi, 30 Julai 2025.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan suami kepada tertuduh bahawa anak angkatnya tidak sedarkan diri. Susulan itu, polis pergi ke tempat kejadian dan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang serta tidak bernyawa di tempat tidur bayi di sebuah bilik rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian muka dan keseluruhan badan mangsa. Tertuduh juga mendera mangsa dengan mencubit, menampar dan menggigit bayi berkenaan serta menganiayainya dengan cara menghisap dadah jenis syabu serta menghembuskan ke dalam mulut mangsa. 

Polis turut menjumpai perbualan WhatsApp yang dihantar tertuduh kepada suaminya yang menyatakan perbuatannya terhadap mangsa dengan kata-kata 'Aku Kasi Lebam Budak Itu Separuh Mati'.

Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin memohon hukuman berat dan setimpal memandangkan kesalahan itu meragut nyawa seorang bayi berusia tujuh bulan yang tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya.

"Pada usia itu, mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan. Namun, individu sepatutnya menjaga dan melindungi mangsa menjadi punca kepada penderitaan dan kematiannya. Fakta kes juga menunjukkan mangsa dicubit, ditampar dan digigit oleh tertuduh.

"Perbuatan itu jelas menunjukkan suatu penderaan fizikal berulang dan disengajakan terhadap bayi berkenaan. Hukuman dijatuhkan hendaklah memberi mesej jelas bukan sahaja kepada tertuduh, malah masyarakat di luar sana bahawa penderaan terhadap kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, Siti Subrina yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap penyakit jantung.

"Saya juga telah ditinggalkan suami puan (hakim)," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement