BEAUFORT: Tindakan seorang lelaki mencuri tiga ekor kambing membawa padah apabila ditahan kurang daripada empat jam selepas melakukan jenayah itu di sebuah kebun di Kampung Pusak, Ulu Membakut, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, suspek berusia 35 tahun dikatakan menyumbat ketiga-tiga ekor haiwan itu ke dalam Proton Saga untuk dihantar ke Putatan iaitu sejauh lebih 80 kilometer perjalanan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort, Asistan Superintenden l Dublin Patrick Rudes berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 51 tahun yang mengatakan tiga kambing jenis baka boer miliknya telah dicuri.

"Menurut pengadu, dia dimaklumkan oleh saksi kejadian bahawa ada ternampak seorang lelaki memasukkan tiga ekor kambing ke dalam kereta dalam keadaan kelam kabut sebelum terus memecut keluar daripada kawasan kampung.

"Pengadu kemudian telah membuat pemeriksaan di dalam kebun dan mendapati tiga ekor kambingnya telah hilang dan segera membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dublin berkata, bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 6.30 petang di sekitar Pekan Papar, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort berjaya menangkap seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes ini.

"Hasil pemeriksaan, sebuah kenderaan telah dirampas dan siasatan seterusnya membawa kepada penemuan barang kes iaitu tiga ekor kambing di Kampung Ulu Putatan.

"Difahamkan, suspek melakukan perkara itu selepas mendapat permintaan daripada pelanggan dan anggaran kerugian melibatkan nilai RM2,000," katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian