Kementerian Pendidikan hari ini memaklumkan, cuti peristiwa Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan kerajaan negeri turut dianggap sebagai cuti bagi semua institusi dan pejabat pendidikan di negeri berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, kementerian itu juga memberitahu bahawa cuti tersebut tidak perlu diganti.

"Sehubungan itu, peruntukan kemudahan cuti ini terpakai bagi pengisytiharan cuti peristiwa Hari Raya Aidilfitri 10 Julai 2016 yang telah diumumkan sehingga kini oleh Kerajaan Negeri Johor, Terengganu dan Kedah," kata kenyataan itu.

Selain itu, peruntukan kemudahan cuti peristiwa itu juga terpakai bagi semua institusi dan pejabat pendidikan Negeri Kelantan sekiranya ada pengisytiharan oleh kerajaan negeri itu selepas ini.