Polis Sarawak merampas dadah jenis syabu dan ekstasi bernilai RM329,250 menerusi serbuan di sebuah rumah di Courtyard Sanctuary Apartment di Batu Kawa, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Sahar Latif berkata bertindak atas risikan dan maklumat diperoleh, pada kira-kira 11.30 pagi pihaknya menahan seorang lelaki berumur 26 tahun di parkir apartment tersebut.

"Polis kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut ke rumah suspek dan menemukan plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu seberat 535 gram dan satu kotak pengering rambut yang berisi 4,980 pil ekstasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata polis turut merampas sebuah Toyota Vios, cincin dan anting-anting emas serta wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM69,593.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metaphetamin dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama," katanya.

-- BERNAMA