Ringkasan AI
- Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 32.73 kg pil Eramin 5 bernilai RM3.3 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
- Sindiket dipercayai aktif sejak Ogos, mendapatkan bekalan dari Johor Bahru untuk diedarkan di Kuching, dan dadah dirampas boleh menjejaskan 163,650 orang.
- Kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuching mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
KUCHING: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 32.73 kilogram (kg) dadah jenis pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM3.3 juta dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini pada 28 Sept lepas.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata kedua-kedua suspek berusia 25 dan 39 tahun itu ditangkap di balai ketibaan KIA dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah dari Johor Bahru sebelum membawanya ke Kuching melalui penerbangan untuk diedarkan di sekitar bandar raya ini.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima upah RM5,000 bagi kegiatan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
Saifullizan berkata sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Ogos lepas, manakala dadah dirampas dianggarkan boleh menjejaskan sehingga 163,650 orang.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 25 tahun positif methamphetamine, amphetamine dan benzo, manakala seorang lagi suspek negatif dadah.
“Suspek berusia 25 tahun yang merupakan penganggur turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau, termasuk satu rekod kesalahan dadah dan dua rekod kesalahan jenayah, manakala suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai nelayan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah,” katanya.
Kedua-dua suspek direman enam hari hingga 5 Okt lepas sebelum tempoh reman dilanjutkan dua hari lagi, hingga 7 Okt.
Mereka telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuching pada 7 Okt mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA