KUALA LUMPUR: Peguam bagi pihak Tun Dr Daim Zainuddin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa bekas Menteri Kewangan itu bukan sahaja buta sebelah mata, malah diserang penyakit angin ahmar, beberapa tahun lalu.

Peguam, M Puravalen berkata, Daim, 86, mengalami masalah kesihatan yang kronik apabila mata kirinya dijangkiti kuman sehingga menyebabkan ia terpaksa dikeluarkan.

Ketika prosiding mitigasi untuk mengurangkan jumlah ikat jamin di hadapan Hakim, Azura Alwi, peguam itu berkata, bekas pemimpin UMNO berkenaan turut mengalami masalah pertuturan kerana ‘minor’ strok.

“Yang Arif boleh lihat sendiri keadaannya, beliau terpaksa dipapah bahkan hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

“Daim merupakan seorang pesakit buah pinggang dan kini hanya terperuk di rumah,” kata peguam itu selepas pihak pendakwaan mencadangkan Daim melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sekali setiap bulan.


Mengenangkan tahap kesihatan itu, Puravalen turut membantah syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Beliau berkata, agak mustahil bagi anak guamnya menggunakan pasport untuk melakukan perjalanan yang jauh.

Daim didakwa tidak isytihar harta libatkan 38 syarikat, 25 unit hartanah, kereta mewah

Pada Isnin, Daim, 86, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak termasuk Pahang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.

Selain Puravalen, peguam, Nizamuddin Hamid, N Rajesvaran dan Sachpreetraj Singh turut hadir bagi mewakili bekas ahli politik berkenaan.

Sebelum prosiding bermula, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid menolak kerusi roda dengan penuh berhat-hati malah turut menemani suaminya itu berdekatan kandang tertuduh.

Meskipun duduk di kerusi roda, Daim yang membongkok kelihatan kurang bermaya selain suaranya sukar untuk didengari.

Prosiding tersebut dihadiri ahli keluarga Daim dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Sinar Harian