PUTRAJAYA: Dakwaan kos membina sebuah bilik darjah untuk sekolah mencecah jutaan ringgit adalah tidak tepat, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata setiap projek di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dinilai mengikut proses berdasarkan panduan piawaian dan standard di peringkat kerajaan.

"Dakwaan itu tidak tepat kerana isu yang kita ingin tekankan ialah proses kerja.

"Ia ada proses kerja yang harus dilalui dan skop kerja, perundingan dan piawaian tertentu yang harus dicapai pihak KPM dalam meneruskan projek terbabit," katanya.

Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin dilaporkan meminta kerajaan menyemak semula proses pelantikan kontraktor untuk menyelenggara bangunan di sekolah, serta mendakwa kos untuk membina sebuah bilik darjah dianggarkan bernilai antara RM1.8 juta sehingga RM2.6 juta.

Ditemui pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti KPM di sini hari ini, Fadhlina berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menjawab dakwaan tersebut.

Mengenai saranan pemuda UMNO yang mahu program pendidikan politik dilaksana di sekolah, Fadhlina berkata KPM sentiasa memberi penekanan perkara berkaitan kefahaman demokrasi dan kenegaraan di sekolah.

"Penekanan diberi dalam topik penting demokrasi perlembagaan antaranya dalam subjek pengajian am dan lain-lain. Kita juga sedang lihat program interaksi untuk tingkat kefahaman demokrasi dalam kalangan pelajar," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pihaknya bercadang mengadakan program untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan politik dalam kalangan pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, program pengkaderan seperti itu penting menjelang mereka mencecah usia layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

-- BERNAMA