KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah siasatan masih lagi belum selesai terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan kenyataannya yang didakwa menghina institusi Diraja Selangor baru-baru ini.

Baginda bertitah selepas berkenaan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dalam satu pertemuan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Isnin.

Perkara itu dimaklumkan menerusi entri terbaharu Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan secara berasingan.

"Pertemuan secara berasingan ini telah membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.

"Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai," jelas kenyataan itu.



Dalam ucapannya yang tular sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkannya menghina institusi beraja di Selangor.