IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua laporan polis yang dibuat berhubung berita mengenai kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini, kononnya disebabkan suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan itu dibuat Pegawai Pendidikan (Kesihatan) Daerah Ipoh dan pengetua sekolah berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

BACA: Dakwaan dua pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia akibat vaksin COVID-19 tidak benar

"Siasatan awal mendapati kematian kedua-dua pelajar sekolah itu disahkan sebelum Program Imunisasi COVID Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja dilaksanakan di Perak iaitu bermula 20 September lalu.

"Mangsa pertama iaitu pelajar perempuan Tingkatan Lima yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat masalah kesihatan iaitu diabetes, selain didapati positif COVID-19.

"Mangsa kedua pula ialah pelajar lelaki Tingkatan Lima yang meninggal dunia pada 17 September lalu di HRPB kerana masalah jantung berlubang dan pelajar ini juga masih belum menerima imunisasi vaksin COVID-19," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Terdahulu tular di media sosial sejak Selasa, satu video memaparkan seorang wanita mendakwa empat pelajar, termasuk dua pelajar di SMK Tasek Damai meninggal dunia selepas divaksin.