KUALA LUMPUR: Tuntutan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki perlu berasaskan bukti kukuh dan bukan hearsay atau dengar cakap.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kamil Munim berkata tuntutan itu juga tidak wajar diasaskan kepada sangkaan atau innuendo semata-mata.
Advertisement
“Saya menghormati sebarang cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, dan pada prinsipnya bersetuju bahawa kebenaran mesti ditegakkan melalui proses yang telus serta berlandaskan undang-undang.
“Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, sebarang tindakan mesti berpaksikan fakta dan bukti sahih,” menurutnya dalam kenayataan hari ini.
Beliau juga berkata negara sebelum ini pernah menyaksikan desakan serupa dalam isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang akhirnya tidak terbukti sepertimana didakwa oleh sesetengah pihak, justeru masyarakat tidak harus terjebak dalam budaya pre-emptive politics yang berpanjangan sehingga mendahului proses sewajarnya.
Kamil berkata proses sedia ada perlu dibenarkan berjalan sama ada melalui siasatan, inkuiri atau jawatankuasa khas kerana mekanisme itu mempunyai keupayaan dan mandat untuk mengumpul keterangan secara menyeluruh serta membuat penilaian berdasarkan fakta.
Beliau berkata malah keputusan untuk mengadakan inkuiri telah dibuat sehari selepas laporan Bloomberg diterbitkan, menunjukkan kesediaan kerajaan menyiasat perkara itu secara terbuka dan bertanggungjawab.
“Matlamat utama kita ialah memastikan keadilan ditegakkan berasaskan fakta, bukan persepsi atau tekanan politik.
"Sekiranya bukti yang dikemukakan kelak menunjukkan keperluan kepada RCI, maka pertimbangan sewajarnya akan dibuat secara telus, bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham oleh Azam Baki yang dipengerusikan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
-- BERNAMA