Skip to main content

Malaysia

Dakwaan penyelewengan cip AI: Kertas siasatan dibuka sejak April 2025 - Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan menyeluruh dimulakan sejurus dakwaan itu dibangkitkan, dengan menumpukan kepada pengesahan sama ada negara ini dijadikan hab transit atau melibatkan syarikat proksi tempatan. - Gambar fail/BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan menyeluruh dimulakan sejurus dakwaan itu dibangkitkan, dengan menumpukan kepada pengesahan sama ada negara ini dijadikan hab transit atau melibatkan syarikat proksi tempatan. - Gambar fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Siasatan mengenai dakwaan Malaysia dijadikan hab transit cip AI berprestasi tinggi, termasuk keluaran Nvidia, telah bermula sejak April tahun lalu.
  • Siasatan dijalankan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 dengan penglibatan pelbagai agensi kawal selia dan MITI sebagai agensi peneraju.
  • Polis menegaskan siasatan adalah kompleks dan perkembangan terkini sentiasa dimaklumkan kepada MITI untuk tindakan lanjut.
Advertisement

LUMUT: Siasatan berhubung dakwaan Amerika Syarikat (AS) mengenai isu penyelewengan, perolehan haram, serta Malaysia dijadikan hab transit bagi cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi termasuk keluaran syarikat Nvidia telah dibuka sejak April tahun lepas. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan menyeluruh dimulakan sejurus dakwaan itu dibangkitkan, dengan menumpukan kepada pengesahan sama ada negara ini dijadikan hab transit atau melibatkan syarikat proksi tempatan.

“Kita siasat di bawah undang-undang Strategic Trade Act 2010. Di situ ada beberapa agensi kawal selia, iaitu Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), kastam dan satu daripadanya ialah polis. 

Advertisement

“MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) adalah lead agency. Jadi kita ada task force (pasukan petugas) yang dipanggil STAC, Strategic Trade Act punya committee (jawatankuasa)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita serta Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Kampung Sungai Tiram, dekat sini hari ini. 

Advertisement

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah RELA Datuk Rosli Yaakub. 

Pada 12 Nov lepas, syarikat pembuat cip yang terletak di AS itu mengumumkan pengasas bersamanya Jensen Huang meletak jawatan sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ahli lembaga pengarah berkuat kuasa serta-merta, menamatkan 33 tahun tempoh perkhidmatannya di syarikat berkenaan.

Beliau menegaskan pihak polis tidak memandang ringan dakwaan itu selain mengesahkan perkembangan siasatan disalurkan secara berkala kepada MITI untuk tindakan susulan.

“Siasatan itu sangat kompleks dan setakat ini saya boleh sahkan bahawa perkembangan siasatan kami dimaklumkan kepada MITI untuk disampaikan kepada pihak yang berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement