Skip to main content

Malaysia

Dakwaan salah guna kuasa, ketua balai antara yang diambil keterangan

KUALA LUMPUR, 12 Jun -- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus bercakap ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas di SMK Alam Damai hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus bercakap ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas di SMK Alam Damai hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan ketua balai dan anggota sebuah balai polis di Wangsa Maju, di sini berhubung dakwaan terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata siasatan mengenai dakwaan terbabit kini dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

"Buat masa sekarang, siasatan masih dijalankan bagi memastikan dakwaan itu berasaskan fakta atau tohmahan semata-mata," katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas Polis Kuala Lumpur di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil berkata pegawai dan anggota yang disiasat masih menjalankan tugas seperti biasa sementara siasatan dijalankan.

Baru-baru ini, tular di media sosial tangkap layar perbualan yang mendakwa seorang ketua balai polis di Wangsa Maju serta beberapa anggotanya terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah.

Sementara itu, berhubung penganjuran "Himpunan Gegar TikTok" oleh ahli perniagaan, Albert Tei yang akan berlangsung di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity, esok, beliau berkata pihaknya telah menerima pemakluman daripada penganjur.

Fadil berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan penganjur dan akan memastikan keselamatan semua pihak terlibat sentiasa dipelihara.

"Kita akan pastikan keselamatan semua pihak menjadi keutamaan dan sekiranya ada keganasan atau pelanggaran, polis akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya. 

Menerusi hantaran di Facebooknya, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng berkata himpunan aman itu akan diadakan pukul 10 pagi di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity, di sini.

Mengulas tentang majlis Advokasi Kesedaran Lalu Lintas, beliau berkata program itu ialah inisiatif Polis Kuala Lumpur dengar kerjasama Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur.

Beliau berkata program itu dilaksanakan di semua sekolah menengah di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan pendedahan menyeluruh kepada para pelajar mengenai kepentingan mematuhi serta menghormati undang-undang, termasuk undang-undang lalu lintas, sebagai asas pembentukan disiplin dan sahsiah yang baik. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement