Dakwaan serah tanah kepada Indonesia, tiada keperluan perjelas di Parlimen - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, hari ini. - Gambar/ Bernama
GOMBAK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan memberikan penjelasan di Parlimen berhubung dakwaan pembangkang kononnya Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di Nunukan, berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak perlu memberikan penjelasan di Parlimen berhubung dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan, mempersoalkan tanggungjawab pihak yang membuat tuduhan tersebut.
- Beliau menegaskan pembangkang menggunakan kebebasan bersuara untuk merapuh dan berbohong, menyalahgunakan agama Islam serta fakta yang salah, dan menuntut mereka bertanggungjawab terhadap tuduhan yang dibuat.
- Anwar menolak desakan untuk membincangkan isu tersebut di Parlimen kerana dakwaan tersebut dianggap palsu, sambil menyatakan kerajaan akan mencari penyelesaian dengan Indonesia berhubung status tiga kampung yang menjadi kontroversi.
"Bila ditanya, kita minta mereka beri penjelasan, tetapi mereka tidak berbuat demikian," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood di sini pada Jumaat.
Anwar menegaskan beliau tidak boleh menerima alasan sedemikian kerana ia bukan sikap pembangkang yang wajar dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berlandaskan tanggungjawab.
"Mereka mesti bertanggungjawab atas tuduhan yang dibuat. Menipu dan menfitnah secara berterusan... ini tidak boleh diterima. Kita tidak boleh terima kaedah politik yang buruk dan busuk seperti ini," tegasnya.
Mengulas desakan supaya isu itu dibincangkan di Parlimen, beliau berkata langkah berkenaan tidak perlu kerana dakwaan itu sendiri bersifat palsu.
"Tidak perlu beri penjelasan di Parlimen. Dia mesti bertanggungjawab atas tuduhan yang dibuat," ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kerajaan menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di Nunukan, dan menuntut kerajaan membincangkan dakwaan itu di Parlimen.
Sebelum ini, media melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Minggu lalu, Anwar menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah berkenaan kepada Indonesia.
Anwar dilapor berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan secara baik dalam mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung yang dilaporkan termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


