KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia melakukan siasatan berhubung pendedahan Datuk Seri Salahuddin Ayub tentang dakwaannya mengenai tawaran percutian mewah ke Eropah daripada sebuah syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika menjadi menteri.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menggesa bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu supaya membuat laporan kepada SPRM.

"SPRM bersedia menyiasat pendedahan itu. Kita minta beliau (Salahuddin) untuk membuat aduan kepada SPRM berhubung dakwaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ahli Parlimen Pulai itu mendedahkan, tawaran tersebut diberikan ketika beliau mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Katanya, beliau mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan yang sepatutnya menjadi sesi perkenalan antara menteri dan juga pemain industri itu apabila ditawarkan dengan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

Namun demikian beliau tidak membuat sebarang laporan kepada SPRM kerana tidak jelas dengan maksud sebenar tawaran tersebut dan syarikat berkenaan juga tidak meminta apa-apa sebagai balasan.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.