Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali enggan mengulas lanjut dakwaan beliau terlibat dalam insiden manipulasi undi dalam pemilihan parti itu yang sedang berlangsung ketika ini.

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat Parti (JPPP) untuk menyiasat dakwaan terbabit dan berharap individu yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, insiden yang berlaku itu tidak akan menjejaskan pemilihan di negeri-negeri lain dan yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

Keputusan pemilihan PRK Cabang Batang Sadong, Sarawak terpaksa dibatalkan berikutan pelbagai masalah timbul termasuk insiden seperti bekalan elektrik terputus,dakwaan wujudnya manipulasi undi, perubahan lokasi mengundi pada saat akhir dan masalah teknikal.

Malah keadaan bertambah panas, apabila seorang Pemimpin PKR, Badrul Hisham Shahrin mendakwa kumpulan penyokong Azmin terbabit dalam kegiatan manipulasi undi tersebut.

Ketika ini, Ahli Parlimen Gombak itu mengatasi dua pencabarnya apabila mendapat 5,111 undi berbanding Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (2,288) dan Datuk Saifuddin Nasution (2,322).

Ditanya keyakinannya berhubung kedudukannya ketika ini, Azmin berkata beliau menyerahkan keputusan kepada akar umbi untuk membuat keputusan berdasarkan rekod cemerlang dirinya berkhidmat dalam parti.

Azmin berkata, demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ahli PKR Pulau Pinang di Seberang Jaya, pada Sabtu petang.