SEPANG: Pelumba Moto3 negara Syarifuddin Azman memberikan sepenuh kepercayaan kepada mentornya Muhammad Zulfahmi Khairuddin, bagi menentukan masa depan beliau pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2024.

Pelumba berusia 22 tahun yang lebih dikenali sebagai Damok itu berkata beliau bersedia untuk menyertai mana-mana pasukan, selepas pasukan MT Helmets-MSi tidak berhasrat untuk mengekalkan khidmatnya pada musim depan.

"Saya masih tunggu keputusan (Muhammad) Zulfahmi sendiri ke mana arah tuju saya, dan berharap dapat teruskan pada tahun hadapan.

"Saya secara peribadi tidak kisah mana-mana pasukan. Saya serah semuanya kepada beliau (Zulfahmi) untuk mencari tempat untuk saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Latihan Bebas Kedua kelas Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pada 21 Okt tahun lepas, MT Helmets-MSI mengumumkan Damok akan bergandingan bersama pelumba dari Brazil Diogo Moreira, dalam saingan Moto3.

Namun pada September lepas, Muhammad Zulfahmi yang juga pengurus pasukan ZK Racing memaklumkan bahawa, MT Helmets-MSi enggan meneruskan khidmat pelumba itu.

Menyentuh mengenai prestasi semasanya yang dilihat agak hambar, Damok mengakui beliau masih memerlukan masa untuk mencari keserasian dengan jentera KTM yang digunakan ketika ini.

"Sudah tentu saya nak buat kejutan, namun ramai yang menaruh harapan tinggi buat saya terutamanya pada musim pertama dalam Moto3," katanya.

Damok menamatkan saingan Latihan Bebas Pertama di tempat ke-23 dengan catatan 2 minit dan 14.258 saat (s), manakala menghabiskan Latihan Bebas Kedua di kedudukan ke-26 dengan 2:14.598s pada GP Malaysia 2023.

-- BERNAMA