Skip to main content

Malaysia

Dana Biasiswa AIA Penyala Harapan kini RM4.8 juta, manfaat 60 pelajar

AIA TB
Kohort pertama seramai 20 penerima Biasiswa AIA Penyala Harapan dari UIAM bergambar bersama wakil AIA PUBLIC Takaful Bhd. dan pihak universiti. - Gambar AIA PUBLIC Takaful Bhd.
Advertisement

KUALA LUMPUR: AIA PUBLIC Takaful Bhd menambah dana RM3.2 juta bagi Program Biasiswa AIA Penyala Harapan, menjadikan keseluruhan komitmennya RM4.8 juta untuk memberi manfaat kepada 60 pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Mohd Asri Omar berkata penyertaan Universiti Malaya (UM) sebagai rakan universiti kedua memperluas program itu kepada tiga kohort penerima dari UM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Pada awalnya, RM1.6 juta diperuntukkan ketika program dilancarkan tahun lalu, diikuti RM1.6 juta bagi kohort kedua UIAM, dan RM1.6 juta lagi bersama rakan universiti baharu.

“Dengan jumlah dana RM4.8 juta, pertambahan rakan universiti dan kohort menjadikan keseluruhan penerima seramai 60 pelajar, dan kami optimistik AIA Penyala Harapan akan terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Dana tambahan itu akan menyokong 40 pelajar lagi, masing-masing 20 penerima bagi kohort kedua UIAM dan kohort pertama UM.
 

Image
AIA INSERT
Wakil AIA PUBLIC Takaful Bhd., UIAM dan Universiti Malaya bergambar bersama replika cek bernilai RM1.6 juta bagi setiap kohort baharu Program Biasiswa AIA Penyala Harapan. - Gambar AIA PUBLIC Takaful Bhd.

Perkembangan berkenaan dicapai dalam tempoh kurang setahun selepas program itu dilancarkan pada Oktober tahun lalu dengan kohort pertama membabitkan 20 pelajar UIAM.

“Dalam tahun pertama sahaja, kami menaja 20 pelajar bagi mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di UIAM, sebelum melangkah ke kohort kedua dengan universiti sama dan kini kohort pertama bersama universiti kedua,” jelasnya.

Biasiswa itu merangkumi yuran pengajian dan kos sara hidup sehingga empat tahun, selain pementoran, pendedahan industri serta inisiatif kesediaan kerjaya.

Penerima turut berpeluang menjalani latihan industri bersama AIA PUBLIC Takaful, tertakluk kepada syarat akademik dan program yang ditetapkan.

Di UIAM, biasiswa ditawarkan kepada pelajar tahun pertama dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam dan Undang-undang.
 

Image
AIA INSERT
Mohd Asri Omar (kiri), bersama wakil Universiti Malaya pada pengumuman universiti itu sebagai rakan universiti kedua Program Biasiswa AIA Penyala Harapan. - Gambar AIA PUBLIC Takaful Bhd.

Kerjasama dengan UM pula memperluas tawaran biasiswa kepada bidang Sains Aktuari, Sains Komputer, Ekonomi, Perakaunan, Kewangan, Perubatan, Pembedahan, Sains Kejururawatan dan Pentadbiran Perniagaan.

Pemilihan penerima dibuat berdasarkan prestasi akademik, keperluan kewangan dan aspirasi masa depan, dengan unit penajaan universiti bertanggungjawab menilai, menyenarai pendek serta memantau perkembangan mereka.

Bagi penerima biasiswa yang mengikuti pengajian Kewangan Islam di UIAM, Sarah Amalia Mohd Sahid, kepercayaan diberikan menerusi tajaan itu menjadi dorongan untuk meningkatkan pencapaian akademiknya.

“Pada mulanya, saya sangat terharu kerana mereka mempercayai potensi dan kebolehan saya.

“Sebagai penerima Biasiswa AIA Penyala Harapan, saya mahu berusaha dengan lebih baik dalam pelajaran,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Muhammad Salihin Hakkim Mohamed, menasihatkan pelajar supaya tidak menjadikan kegagalan sebagai alasan untuk berhenti mencari peluang pendidikan.

“Belajarlah daripada kegagalan dan ambil perkara yang penting daripadanya untuk memperbaiki diri.

“Mohonlah sebanyak mungkin biasiswa atau bantuan kewangan kerana jika ada rezeki, peluang itu akan datang,” katanya.
 

Image
AIA INSERT
Penerima Biasiswa AIA Penyala Harapan, Muhammad Salihin Hakkim Mohamed (kiri) dan Sarah Amalia Mohd Sahid menunjukkan sijil masing-masing pada majlis penyampaian biasiswa. - Gambar AIA PUBLIC Takaful Bhd.

Program berkenaan dibiayai menerusi sumbangan lebihan takaful yang didermakan pemegang sijil AIA PUBLIC Takaful kepada Tabung Amal AIA Penyala Harapan.

Pengumuman peluasan program dibuat pada majlis penyampaian biasiswa yang turut meraikan kohort pertama seramai 20 penerima dari UIAM.

Pelajar yang memenuhi syarat dan menerima tawaran pengajian dalam bidang ditetapkan boleh memohon melalui unit penajaan dan biasiswa universiti masing-masing atau layari laman web AIA untuk maklumat lanjut.

Must Watch Video

Advertisement